Dr. Intan Suriati
Jangkitan kuman kencing tikus atau
leptospirosis yang jarang berlaku, dipercayai menular daripada haiwan
kepada manusia dan kebiasaannya terjadi secara kebetulan.
Menurut
Pakar Perunding Veterinar, Dr. Intan Suriati Abdul Manaf, leptospirosis
ialah penyakit berjangkit disebabkan bakteria Leptospira sp. yang
sangat tipis dan berbentuk pilin seperti mata gerudi.
Bakteria Leptospira juga boleh hidup dalam air tawar selama sebulan malah ia juga boleh membiak di air masin.
170 anak
“Banyak
haiwan yang boleh menjadi pembawa kepada bakteria Leptospira, tidak
kira ia haiwan peliharaan seperti kucing, arnab, lembu, babi, kuda,
anjing dan haiwan liar lain seperti rakun dan serigala.
“Bagaimanapun,
tikus dikesan sebagai penyebar utama bakteria ini kerana kitaran
hidupnya yang suka makan dan tinggal di tempat kotor (menjadi tempat
bakteria Leptospira membiak).
“Iklim negara yang lembap menjadi
faktor terbaik kepada pembiakan bakteria ini. Malah, pada suhu sederhana
ia boleh hidup lebih lama,” katanya.
Tambah Intan, kitaran hidup tikus yang cepat membiak dan sukar dikawal membantu penyebaran bakteria dengan lebih meluas.
“Jangka
hayat tikus betina adalah di antara dua dan tiga tahun tetapi ia sudah
boleh bunting dan aktif seks hanya dalam tempoh enam minggu.
“Setiap
kelahiran, tikus boleh melahirkan lima hingga tujuh ekor anak tikus.
Tikus betina boleh bunting sebaik melahirkan anak,” kata Intan.
Secara purata, dalam kitaran hidup seekor tikus betina, ia boleh bunting sehingga 28 kali dan melahirkan sehingga 170 ekor anak.
Tikus
gemarkan sampah dan air bertakung seperti di lorong belakang hotel
terkemuka, kolong bawah tanah hinggalah ke petak sawah atau kandang
kuda. Rumah yang dijaga rapi juga tidak terkecuali daripada menjadi
sasaran makhluk perosak tersebut.
“Bakteria Leptospira akan
tersebar melalui cecair yang dikeluarkan oleh tikus seperti air kencing,
air liur, darah, air mani dan najis.
Rumput
“Malah, tikus betina yang bunting boleh memindahkan bakteria tersebut kepada anak dalam kandungannya.
“Bakteria
daripada kencing tikus juga boleh tersebar melalui air atau tanah.
Menyentuh pokok atau tanah lembap yang tercemar juga boleh memindahkan
bakteria kepada manusia.
“Oleh sebab itu, saya mengesyorkan
pemakaian sarung tangan sewaktu melakukan kerja-kerja berkebun dan basuh
tangan menggunakan antiseptik,” kata Intan.
Menurut beliau,
jangkitan terus bakteria Leptospira daripada tubuh tikus jarang
dilaporkan sebaliknya terjadi apabila haiwan peliharaan seperti kucing
atau anjing meminum air dari lopak yang sudah dicemari dengan kencing
tikus.
“Kebiasaannya kucing yang meminum air dari tempat
bertakung yang telah dicemari kencing tikus berisiko tinggi untuk
mendapat leptospirosis.
“Pemilik kucing yang membersihkan kucing
dan tersentuh dengan kencing, air liur, tisu atau permukaan lembap lain
juga akan terdedah kepada jangkitan ini,” ujarnya.
Gerudi
Simptom
penyakit hanya akan muncul dalam masa empat hingga 12 hari selepas
kuman atau bakteria Leptospira menjangkiti haiwan atau manusia.
“Lazimnya,
bakteria ini boleh memasuki badan manusia melalui luka atau tisu lembut
seperti dalam mulut, hidung atau mata. Jika kita pegang haiwan yang
dijangkiti leptospirosis dan makan tanpa mencuci tangan, bakteria
tersebut akan turut memasuki tubuh sebelum memasuki saluran darah.
“Bakteria
ini akan menggerudi sel-sel dalam badan termasuk hati dan buah
pinggang. Malah, dua organ tersebut adalah lokasi utama pembiakan
bakteria ini.
“Akibatnya, sel-sel organ penting haiwan yang
diserang bakteria ini akan rosak dan gagal berfungsi manakala pembuluh
darah akan pecah sehingga membawa kepada kencing berdarah,” jelas Intan.
Dalam
kes serius, leptospirosis boleh menyebabkan kematian. Tahap jangkitan
berbeza antara individu atau haiwan mengikut daya ketahanan
masing-masing.
“Sukar untuk mengenal pasti jangkitan ini pada peringkat awal kerana simptom yang ditunjukkan sangat umum.
“Pemeriksaan
terperinci melibatkan ujian makmal, ujian darah, analisis air kencing
dan beberapa ujian lain perlu dilakukan sebelum mengetahui ia berpunca
daripada Leptospira,” ujarnya.
Kata Intan, simptom akan menjadi
lebih serius apabila penyakit memasuki fasa kedua dan ketiga kerana ia
boleh menyebabkan kegagalan fungsi buah pinggang dan kerosakan hati.
SEORANG petugas Zoo Negara mengusap tikus terbesar 'Capybara' baru-baru ini.
“Apabila
dijangkiti, biasanya bakteria Leptospira mengambil masa sekitar 10 hari
untuk sampai ke organ penting sebelum menimbulkan gejala.
“Dalam tempoh ini, rawatan sewajarnya perlu diberikan untuk mengelak komplikasi tidak diingini,” kata Intan.
Seperti
jangkitan bakteria lain, leptospirosis boleh dirawat dengan mengambil
antibiotik seperti penisilin, streptomisin, eritromisin, tetrasiklin dan
doksisiklin.
“Kos ujian mengenal pasti bakteria Leptospira
tinggi sehingga menyebabkan kebanyakan pemilik haiwan yang dijangkiti
kuman itu hanya mengambil rawatan berdasarkan simptom yang ditunjukkan
haiwan peliharaan mereka.
“Untuk tujuan itu, antibiotik adalah
pilihan utama namun ia tidak akan membunuh bakteria itu sepenuhnya
sebaliknya hanya meredakan simptom jangkitan seperti demam panas,
muntah, cirit-birit atau demam kuning.
“Malah selepas tiga bulan ia sihat secara klinikalnya, bakteria itu masih ada di tubuhnya,” jelasnya.
0 comments:
Post a Comment